Thursday, November 12, 2009

'Ikat perut' kos semakin tinggi


BANGI - Dapat pinjaman tapi habis bayar yuran!
Itulah dilema ditanggung oleh sebahagian besar pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Lembah Klang yang dikatakan semakin tertekan kerana terpaksa menanggung beban yuran pengajian dan penginapan yang didakwa mereka terlalu tinggi.


PELAJAR sebuah IPTS menunjukkan jumlah pinjaman PTPTN yang tidak mencukupi bagi menampung kos pengajian dan sara hidupnya.


Rata-rata mereka mendakwa, perbelanjaan untuk keperluan itu melebihi daripada jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga ada di kalangan pelajar terbabit terpaksa mencari kerja sambilan.

Kenaikan kos hidup termasuk makan minum dan pelagai keperluan pembelajaran lain berikutan harga bahan api meningkat baru-baru ini semakin memeritkan kehidupan mereka sebelum memegang segulung diploma atau ijazah.

Baki daripada PTPTN itu tidak mencukupi untuk menampung kos sewa yang hampir mencecah RM1,000 semester menyebabkan mereka dalam keadaan dilema.

Justeru, mereka yang mendapat pinjaman PTPTN mengharapkan jumlah pinjaman yang diterima dikaji semula mengikut keperluan sekarang agar meringankan beban yang sedia ditanggung.

Seorang pelajar tahun pertama Diploma Pengurusan Perniagaan di sebuah kolej swasta di sini, yang hanya ingin dikenali sebagai Nor Ashikin, 19, memberitahu, dia terpaksa bekerja sambilan semasa cuti semester bagi menampung yuran pengajian berjumlah RM3,700 setiap semester sedang pinjaman PTPTN yang diperolehnya sebanyak RM4,000 sahaja.

"Pinjaman dan hasil kerja sambilan, saya gunakan untuk menampung kos belajar kerana selepas bayar yuran pengajian, baki wang saya hanya tinggal RM300, belum termasuk bayaran penginapan mencecah RM1,000 semester," katanya.

Jelas beliau, apabila memohon tinggal di luar kampus, permohonan ditolak dengan alasan pihak kolej milik kerajaan negeri itu tidak mahu menanggung kerugian.

"Jika pelajar tidak tinggal di kampus, pihak kolej perlu bayar kepada syarikat tertentu, jadi mereka wajibkan pelajar tinggal di kampus untuk elak tampung bayaran itu, jadi saya tiada pilihan," katanya.

Tambah Nor Ashikin, setiap semester dia bukan sahaja memerlukan wang tambahan lebih RM1,500 lagi bagi menampung kos penginapan, pengangkutan, makan serta membeli buku rujukan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm